PUTRAJAYA – Jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah pada tahun lalu semakin berkurang.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berdasarkan rekod pada tahun lalu pelajar yang gagal dalam BM berkurang sebanyak 0.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam masa yang sama, pelajar yang gagal dalam Sejarah pada 2023 berkurang 2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah pelajar BM yang gagal tahun lalu adalah 2.5 peratus dan Sejarah 5.6 peratus. Sekiranya kita meneliti dari segi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dua mata pelajaran itu memaparkan prestasi yang baik. BM pada tahun 2022 (3.95) manakala 2023 GPMP adalah 3.86.

“GPMP bagi Sejarah tahun 2022 (4.65) dan tahun lalu 2023 (4.63). Walaupun tipis tapi ia perkembangan baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024.

Bagaimanapun beliau berkata, KPM memandang serius perkembangan prestasi pelajar SPM dalam semua mata pelajaran dan akan memastikan ia ditambah baik melalui penambahan dalam proses pembelajaran.

KPM hargai segala komen dan pandangan berkenaan prestasi SPM sedia ada termasuk seperti yang ditanya (yang viral). Sememangnya kita memandang serius dan menyediakan pelbagai bahan sokongan,” katanya.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan yang disuarakan bekas Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak, Mutalib Uthman berkenaan jumlah pelajar SPM yang gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut tahun lalu.

Mutalib mendakwa, seramai 23,775 pelajar SPM yang gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast