Ricky Wong Shee Kai

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang mengesan bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Berhad (AMGB), Ricky Wong Shee Kai (Wong), 43.

Wong dikehendaki atas pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Alamat perniagaan terakhirnya ialah di No.35, First Floor, Jalan Bandar 16, Pusat Bandar Puchong, 47100, Puchong, Selangor manakala tempat tinggal Wong di No. 5, Jalan Enak 2, Taman Gembira, 58200, Kuala Lumpur.

Pencarian ini berikutan pelbagai waran tangkap terhadap Wong yang masih bebas, serta percubaan untuk mengesan keberadaannya sebelum ini.

SC berkata, pada 27 Disember 2019, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Wong bagi dua pertuduhan di bawah seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA kerana gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC seperti yang dikehendaki di bawah seksyen 32(2)(a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Wong boleh didenda tidak melebihi RM3 juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan dengan kemungkinan denda berterusan.

Selepas itu, pada 29 September 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap kedua terhadap Wong bagi satu pertuduhan di bawahseksyen 369(b)(B) CMSA kerana memberikan kenyataan palsu berkaitan hasil AMGB kepada Bursa Malaysia.

Kenyataan palsu itu adalah berhubung dengan hasil AMGB yang terkandung dalam Laporan Suku Tahunan AMGB mengenai Keputusan Disatukan bagi Suku Tahun Ke-4 berakhir 31 Disember 2015 yang mana jika sabit kesalahan, Wong akan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

SC telah mengenakan pertuduhan terhadap bekas Akauntan Kumpulan AMGB, Ong Kar Kian (Ken Ong), atas kesalahan yang sama pada 30 September 2021 dan perbicaraan kini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Wong digesa untuk memaklumkan kepada SC di talian 012-6102593/012-6114657 atau e-mel kepada SC di [email protected]. – MalaysiaGazette