Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pelajar-pelajar ketika hadir ke Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 05 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia menyambut baik cadangan Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir yang meletakkan beberapa prinsip untuk mencapai pendamaian segera dalam menghentikan serangan ketenteraan Israel ke atas Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan ketiga-tiga negara itu disifatkan sebagai agak mantap dan dilihat mampu menghentikan serangan ganas itu.

“Kita juga bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri dengan memberikan sokongan kepada Mesir, Qatar dan AS khususnya cadangan Presiden Joe Biden.

“Saya percaya ia lebih lunak berdasarkan apa yang saya bincang dengan pimpinan Hamas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Anwar menyempurnakan Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di Dewan Seri Siantan di sini hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Biden pada 31 Mei lalu telah membentangkan perjanjian tiga fasa yang dicadangkan oleh Israel kepada wakil Palestin, Hamas.

Menurutnya, cadangan itu akan menamatkan permusuhan di Semenanjung Gaza yang terkepung dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkata, walaupun Malaysia menyokong kuat cadangan itu namun AS perlu bertindak lebih tegas dengan Israel.

“Ini kerana masalah sekarang ini ialah kerana kedegilan, keangkuhan, Israel bukan kerana terlalu banyak bencana dan kesengsaraan yang telah berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette