Najihah menyiram air mawar di kubur Allahyarham Bapanya di Tanah Perkuburan Islam AU4 Keramat, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 JUN 2024.

HULU KELANG – Anak allahyarham pelakon dan penyair, Pyanhabib iaitu Najihah Mohd. Supyan mengakui masih terkejut dengan pemergian bapanya secara mendadak.

Ini kerana bapanya yang memiliki nama sebenar, Mohd. Supyan Abdul Rahman tidak pernah mengalami sebarang penyakit kronik sebelum ini.

“Pemergian babah mendadak kerana dia memang sekejap sakit kejap sihat, cuma kebelakangan ini kesihatan dia merosot.

“Kali terakhir berjumpa babah minggu lalu di rumahnya. Bila sudah balik rumah sendiri, emak telefon saya minta balik rumah.

“Adik pun kata balik, saya kata kenapa, sebab di rumah ada nenek juga yang tidak sihat. Saya tidak jangka babah sudah tak ada,” katanya kepada media di Masjid As-Sobihin di sini hari ini.

Anak Allahyarham, Najihah kelihatan sedih Ketika bercakap pada media berkenaan jenazah Allahyarham di Masjid As Sobirin Keramat, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 JUN 2024.

Sementara itu, anak sulung dua beradik ini mengakui akan merindui sosok bapanya yang berusia 66 tahun kerana sering mengambil berat dengan anak-anak.

“Babah sentiasa pesan supaya hati-hati sebelum membuat apa apa dan tidak kira apa pun, babah ambil berat dengan keadaan saya dan adik.

“Walaupun dah usia 31 tahun ini, dia masih manjakan saya. Itu yang saya akan rindu nanti,” katanya.

Malam tadi, pencinta puisi dikejutkan dengan pemergian Pyanhabib di kediamannya di Keramat.

Jenazah dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang pada 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 pagi ini.

Allahyarham Pyan Habib selepas jenazah dimandikan kemudian di sembahyangkan di Masjid As Sobirin Keramat, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 JUN 2024.

Antara yang hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim selain kenalan artis antaranya Datuk M. Nasri, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar; Datuk Dr Ras Adiba Radzi; Ito; Aris Ariwatan; Imuda; Khir Rahman; Ameerul Affendi dan Farid Kamil.

Pyanhabib yang lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.

Di pentas lakonan, Pyanhabib membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Antara filem lain yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham Pyanhabib adalah Tsu Feh Sofiah (1986); Rozana Cinta 87 (1987); Tak Kisahlah Beb (1989); Mat Som (1990); Rock Oo! (2013); Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).

Pyanhabib pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali berjudul Tsu Feh Sofiah pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-6 pada 1986, namun beliau menolak penganugerahan berkenaan. – MalaysiaGazette