Shahrul Izuan Shafie (kanan) bertukar-tukar dokumen dengan Khairul Annuar Basri selepas memeterai MoU di antara iMHome dan KAB Gold

KUALA LUMPUR – iMHome Property Management Sdn Bhd. (iMHome) dan KAB Goldynamics Sdn. Bhd. (KAB Gold) menawarkan peluang kepada orang ramai yang memiliki emas fizikal untuk membina kediaman idaman mereka.

Ketua Pegawai Pemasaran iMHome, Shahrul Izuan Shafie berkata, ini merupakan kerjasama ‘menang-menang’ pertama seumpamanya dengan menjadikan pegangan emas sama ada dalam bentuk jongkong, kepingan atau barang kemas sebagai kaedah pembayaran alternatif untuk membina rumah.

Di bawah kerjasama ini, iMHome akan membangunkan rumah kediaman manakala KAB Gold pula bertindak sebagai pengurus transaksi jualan emas antara pelanggan dengan iMHome Property termasuk menentu sahkan ketulenan dan nilai semasa pegangan emas fizikal tersebut,” katanya dalam kenyataannya, di sini.

Tambah beliau, semakin ramai yang membeli emas bagi tujuan pelaburan atau simpanan masa depan.

Populariti komoditi itu meningkat kerana ia menawarkan keuntungan yang berlipat kali ganda sejak kebelakangan ini.

Shahrul Izuan berkata, kemudahan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia termasuk 40,000 ahli KAB Gold di seluruh negara.

iMHome menawarkan 18 pakej yang terdiri daripada 12 pakej rumah setingkat dan enam pakej rumah ‘semi-detached’ (Semi-D).

Pakej custom made juga boleh didapati pada harga berbeza mengikut ukuran setiap kaki.

Syarikat bumiputera itu berjaya membina hampir 760 rumah sejak 2021.

Terdahulu, Shahrul Izuan mewakili iMHome menandatangani memorandum persefahaman dengan KAB Gold yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif KAB Goldynamics Sdn Bhd, Khairul Anuar Basri. – MalaysiaGazette