KUALA LUMPUR – Karya seniman Allahyarham Pyanhabib Rahman yang sentiasa membawa suara dan denyut hati rakyat akan sentiasa dikenang.

Menurut Perdana, Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perjuangan Allahyarham akan tersemat buat selamanya.

“Terima khabar duka penyair dan seniman Pyanhabib atau Osman Tikus telah kembali ke rahmatullah.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan ruh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

“Saya pasti akan mengenang setiap karya Allahyarham yang sentiasa membawa suara dan denyut nadi rakyat.

“Pengorbanan serta perjuangan Allahyarham akan tersemat utuh buat selamanya. Al-Fatihah,” kata Anwar dalam kenyataan.

Pyanhabib yang merupakan penyair dan pelakon meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam tadi kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.

Pyanhabib atau atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.

Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.

Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buku.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga mengulas isu masyarakat seperti kemiskinan menerusi karya mereka.

Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Di pentas lakonan, Pyanhabib berjaya membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Antara filem lain yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham adalah Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).

Pyanhabib pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali yang berjudul Tsu Feh Sofiah, namun beliau menolak penganugerahan berkenaan di Festival Filem Malaysia ke-7. – MalaysiaGazette