PUTRAJAYA – ‘Malaysia Madani’ dikekalkan sebagai logo bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, logo yang digunakan untuk tahun kedua berturut-turut itu turut menyemai slogan Jiwa Merdeka sebagai tambahan kepada sambutan berkenaan.
“Signifikan majlis pelancaran ini adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya.
“Seterusnya momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan hingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September di Sabah,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 di Kementerian Komunikasi hari ini.
Turut hadir timbalannya, Teo Nie Ching.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, konsep Malaysia MADANI adalah tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.
“Sementara Jiwa Merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.
Beliau berkata, Inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang terus dijayakan bagi menterjemahkan semangat patriotik dalam diri dan ahli keluarga kita.
“Hiasilah rumah dengan bendera yang menjadi identiti kita di seluruh pelosok dunia. Namun kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya.
Fahmi berharap semua pihak memaparkan dalam semua medium komunikasi logo HKHM 2024 bagi menggelorakan semangat menuju sambutan Hari Kebangsaan pada Ogos dan berterusan hingga sambutan Hari Malaysia pada September nanti.
“Peranan media juga amat penting dalam menyemarakkan sambutan HKHM dengan menyiarkan kandungan berita dan program yang bersesuaian dengan tema sambutan di platform masing-masing. – MalaysiaGazette