KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing Orang Kelainan Upaya (OKU), Ong Ing Keong yang mendakwa dicederakan seorang juruiring orang kenamaan diambil keterangan lebih empat jam di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman, di sini, hari ini.
Peguam mewakili Ing Keong dari Lawyers For Liberty (LFL), N. Surendran berkata, polis bertanya tentang dua perkara iaitu apa yang berlaku di lokasi kejadian di lobi sebuah hotel pada 28 Mei lalu dan dua laporan polis yang dibuat di Balai Polis Brickfields, di sini, pada hari sama.
“Polis juga turut merekodkan tentang situasi yang berlaku di balai polis pada petang hari kejadian di mana ketika Ing Keong membuat laporan polis pertama dan selepas dia diminta untuk hadir semula pada malam kejadian untuk menarik laporan polis yang dibuat,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Menurut Surendran, pemandu e-hailing yang berusia 46 tahun itu turut diminta menjelaskan bilangan pegawai polis yang berada di balai polis serta butiran yang diarahkan oleh pegawai penyiasat kes.
Tambah beliau, polis juga bertanyakan tentang berkemungkinan dan penarikan semula laporan itu antaranya siapa yang terlibat serta apa yang berlaku selepas itu.
“Saya rasa sehingga kini, tiada sebarang penjelasan yang memuaskan daripada pihak berkuasa bagaimana insiden itu berlaku.
“Wujud persoalan juga sama ada wujud percubaan untuk memberi tekanan terhadap Ing Keong untuk menarik laporan polis, saya rasa ia bukan sekadar Ong tetapi orang awam juga mengharapkan jawapan dari pihak berkuasa kerana ini menjadi isu berkepentingan awam yang menjadi perbualan umum,” ujarnya.
Surendran berkata, dalam sesi rakaman keterangan itu polis turut memberi bayangan bahawa individu yang menyerang Ing Keong dan siasatan dilakukan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Brickfields.
Katanya, siasatan antaranya merangkumi aspek salah lalu dan perlanggaran disiplin dan berharap ia dilaksanakan secara adil, saksama serta telus. – MalaysiaGazette