Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis mengesan satu sindiket penipuan yang menawarkan tawaran pekerjaan palsu menerusi laman sesawang lynxoasis.com.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini pihaknya telah menerima sejumlah 19 laporan di seluruh negara berkaitan laman sesawang berkenaan.

Siasatan awal polis mendapati mangsa yang tertipu dengan tawaran pekerjaan palsu itu mengalami kerugian RM688,099.

“Berdasarkan siasatan polis, sindiket penipuan ini menggunakan platform Instagram dan Facebook untuk mengiklankan tawaran pekerjaan sambilan selaku ejen tempahan hotel.

“Mangsa yang berminat akan diminta membuka akaun di laman web lynxoasis.com dan menyelesaikan tugasan tempahan hotel sebagaimana diarahkan yang mana tempahan perlu dibuat menggunakan wang mangsa terlebih dahulu dengan jaminan ia akan dipulangkan semula beserta komisen.

“Mangsa dijanjikan komisen sebanyak 0.6 peratus hingga 10 peratus bergantung kepada tugasan yang diselesaikan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Ramli, melalui laman sesawang tersebut, mangsa akan dapat melihat wang komisen mereka meningkat namun apabila ingin mengeluarkannya – sindiket mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan terlebih dahulu.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Dalam perkembangan terbaharu, sindiket sama dikesan mula menyebarkan mesej job for senior yang mempromosikan pekerjaan sambilan di laman sesawang yang sama.

“Siasatan terperinci kami mendapati mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp disyaki menyasarkan mangsa dalam kalangan warga emas yang mana untuk rekod daripada 19 laporan polis yang diterima setakat ini, tiga daripada mangsa adalah dalam kategori warga emas dengan nilai kerugian RM269,237.

“Dapatan terbaharu ini sekaligus menunjukkan warga emas merupakan sasaran yang lebih ‘berkualiti’ berbanding kategori mangsa lain dan dinasihatkan supaya orang ramai sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar tidak menjadi mangsa kepada kegiatan penipuan sebegini.

“Sila hubungi National Scam Response Center di talian 997 untuk sebarang aduan dan nasihat berkenaan jenayah penipuan,” tegas Ramli.- MalaysiaGazette