IMTN bond Najib Razak Abank TIA Terengganu Investment Authority Jho Low
Tan Sri Ismee Ismail

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Tan Sri Ismee Ismail mendakwa beliau pernah menengking Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil pada 2013 akibat terlalu marah dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu

Ismee menjelaskan, beliau berang apabila dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa SRC masih belum lagi memfail dan menyerahkan akaun bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tambah Ismee, pada mulanya beliau hanya mengetahui tentang perkara itu melalui portal The Edge yang menyiarkan laporan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad ((1MDB) itu belum lagi menyerahkan laporan akhir kewangan dan berkemungkinan akan memohon masa tambahan.

“Selepas lihat laporan yang bertajuk ‘SRC yet to file accounts or seek extension’, saya terus minta Nik Faisal untuk sangkal dakwaan ini namun saya dimaklumkan bahawa laporan itu benar.

“Masa itu saya menjerit menengkingnya namun Nik Faisal hanya beritahu saya bertenang selain memberi jaminan bahawa perkara itu sedang ditangani dengan baik.

“Siapa sangka Nik Faisal ini penipu, bukti sangat jelas jaminan yang diberikan oleh Nik Faisal itu tidak benar dan kami dalam Lembaga Pengarah (BOD) tertipu,” dakwanya.

Beliau berkata demikian dalam keterangannya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin pada prosiding kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Nik Faisal.

Selain Najib dan Nik Faisal, Ismee dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan bekas Perdana Menteri itu turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC dalam tuntutannya juga memohon perisytiharan semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pada itu, selepas insiden tersebut, Ismee mendakwa beliau telah mengambil inisiatif bagi memastikan akaun SRC pada tahun itu ditutup.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette