Dzulkefly.

BALIK PULAU – Draf pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menangani isu Program Latihan Ijazah Kepakaran (parallel pathway) telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AG).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, draf berkaitan pindaan itu diserahkan untuk semakan AG dan akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

“Kita juga akan mengadakan sesi libat urus berkaitan perkara ini dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Kementerian Pengajian Tinggi serta beberapa agensi berkaitan.

“Kita harap ia (pindaan akta) akan dibentangkan pada minggu pertama persidangan dan dibahaskan pada minggu ketiga Jun ini,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pindaan RUU Program Latihan Ijazah Kepakaran.

Terdahulu, Dzulkefly merasmikan Klinik Kesihatan Air Putih di sini, hari ini.

Klinik Kesihatan Air Putih, Dzulkefly berkata, klinik tersebut telah mula beroperasi sejak 26 Februari lalu membabitkan kos berjumlah RM30 juta.

Projek itu siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2023 dan ia itu turut dilengkapi dengan 16 unit kuarters untuk kakitangan yang bertugas.

Isu Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan
Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedan kardiotoraks untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic
Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.

Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Parallel Pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotoraks. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast