KUALA LUMPUR – Doktor pakar Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak yang menjalankan pemeriksaan psikiatri terhadap pemandu lori dituduh membunuh kekasih warga Thailand Februari lepas telah memohon lebih masa untuk menahan tertuduh bagi ujian lanjutan.
Tertuduh, V Nathan, 37, dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2018.
Peguam mewakili Nathan, Sivahnanthan Ragava berkata, sepatutnya prosiding berjalan seperti ditetapkan namun kebenaran untuk melanjutkan permohonan doktor pakar Hospital Bahagia itu telah mendapat ketetapan Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
“Sepatutnya hari ini ada prosiding namun anak guam tidak hadir memandangkan dia masih lagi sedang menjalani ujian psikiatari di hospital terbabit seperti yang telah dipohon oleh doktor di sana.
“Saya dimaklumkan doktor telah memohon lanjutan sebulan untuk pemeriksaan kesihatan mental anak guam saya. Lanjutan ini juga telah dibenarkan mahkamah mengikut Sesyen 342(4). Pihak hospital ketika ini masih belum dapat memastikan tahap kewarasan pesakit ini,” katanya kepada MalaysiaGazette pagi ini.
Tambah Sivahnanthan, surat lanjutan juga telah diberikan kepada mahkamah dan pasukan pendakwaan.
Pada prosiding sebelum ini, Majistret Redza Azhar Rezali membenarkan permohonan peguam tertuduh supaya anak guamnya dapat menjalani pemeriksaan kesihatan memandangkan lelaki itu berhenti memberikan sebarang maklum balas selepas prosiding pertama.
Sivahnanthan ketika itu membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Prosedur Jenayah berkata, beliau menghadapi kesukaran untuk mendapat sebarang arahan daripada anak guamnya yang tidak responsif, berkemungkinan masalah mental yang dihadapinya.
“Anak guam saya pernah terlibat dengan kemalangan yang mengakibatkan pendarahan intrakranial dan pneumokranium sebelum ini (pendarahan kepala).
”Tujuan saya memohon perintah ini juga kerana agak risau anak guam saya yang mentalnya tidak begitu stabil akan cuba melakukan sesuatu dalam penjara sehingga mengakibatkan insiden tidak diingini.
“Saya mohon kepada mahkamah supaya menghantar anak guam saya pemeriksaan psikiatri terlebih dahulu sebelum bermulanya prosiding nanti,” katanya.
Lelaki itu didakwa membunuh kekasihnya, Mawika Lumyai di sebuah unit kondominium di Setia Alam, Seksyen U13, pada jam 10.02 malam, 28 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, sekiranya didapati bersalah.
Dilaporkan saksi yang melihat insiden itu terdengar pergaduhan pasangan itu sebelum mendakwa melihat mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh kondominium tersebut. -MalaysiaGazette