Dzulkefly.

BALIK PULAU – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha untuk melahirkan lebih ramai pakar geriatrik atau sakit tua dalam menghadapi negara menua menjelang 2030.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha menangani kekurangan pakar geriatrik di negara ini.

“Sudah pasti agak sukar untuk mendapatkan doktor pakar dalam bidang itu, dengan purata lapan pakar geriatrik dikeluarkan setiap tahun.

“Ketika ini hanya terdapat 33 pakar geriatrik di fasiliti kesihatan awam KKM seluruh negara selain 13 lagi di hospital KPT dan 14 di hospital swasta.

“Malah, Universiti Malaya (UM) merupakan satu-satunya universiti dalam negara yang menawarkan program kepakaran geriatrik dengan mengeluarkan antara tiga hingga lapan pelajar setahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Air Putih, di sini, hari ini.

Dzulkefly merasmikan Klinik Kesihatan Air Putih di Balik Pulau hari ini.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, KKM sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada golongan warga emas terutamanya ketika ke arah negara menua 2030.

“KKM akan berusaha menggalakkan lebih ramai penyertaan pelajar perubatan termasuklah mempertimbangkan mengenai insentif yang bersesuaian,” katanya.

Media pada Selasa lalu melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia yang akan menjadi negara menua harus mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur kondusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast