Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Ops Kesan 2.0 bermula esok sebagai persiapan menghadapi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, fokus operasi tersebut bagi memastikan tiada elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen-stesen minyak.

Jelas beliau, kementerian tersebut akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Ops Kesan 2.0 adalah kesinambungan kepada Ops Kesan 1.0 yang telah dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan pada 1 Mac 2024,” katanya.

Menurutnya, sebanyak lima pendekatan digunakan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan.

Antaranya adalah mengumpul data Harga dan caj perkhidmatan yang dimulakan sejak 2 Mei lalu.

“Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan;

“Menubuhkan pasukan tugas khas di peringkat Ibu Pejabat bagi menyelaras dan menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel;

“Melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan yang kini bermula dari jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam kepada 9.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari agar siasatan segera dapat dilakukan ke atas aduan yang diterima berhubung pelaksanaan SKDS dan aduan kenaikan harga dan perkhidmatan,” katanya.

Selain itu katanya, prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan-aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima.

“Menyediakan saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 untuk membolehkan orang ramai untuk mengemukakan sebarang maklumat dan aduan berkaitan pelaksanaan SKDS dan aduan caj, harga dan bekalan.

Armiza berkata, selain talian khas tersebut, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak kementerian melalui WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.-MalaysiaGazette