Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Golongan petani dan pekebun kecil komoditi diseru supaya memohon Budi Agri-Komoditi bagi bantuan subsidi diesel.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, masih ramai daripada kumpulan itu belum membuat permohonan.

“Saya difahamkan masih ramai lagi petani yang layak, belum membuat permohonan di bawah inisiatif Budi Agri Komoditi.

“Justeru saya ingin menyeru kepada semua petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang layak supaya segera mengemaskini data anda ke dalam Sistem Geo-Agro KPKM dan seterusnya memohon bantuan subsidi tunai di portal BUDI MADANI,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohamad, saluran bantuan tunai pertama berjumlah RM200 akan mula diberikan pada 10 Jun ini.

Seruan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan mengeluarkan siaran media memaklumkan setakat 6 Jun lalu lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi telah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, 200,000 pekebun kecil baharu layak menikmati BUDI MADANI yang melibatkan penanam sawit, getah, kenaf, koko dan lada.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, bantuan tunai pertama akan disalurkan melalui akaun bank penerima.

Katanya, penerima tanpa akaun bank boleh menuntut bantuan secara tunai dengan membawa MyKad ke cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

“Pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima Budi Madani.

“Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya.

“Permohonan yang dibuat selepas bulan Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada bulan Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk bulan Jun 2024,” jelasnya.

BUDI MADANI adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan layak.

Ia terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) selain syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat.-MalaysiaGazette