KLANG – Pemberian Budi Madani atau peruntukan subsidi bahan api diesel berjumlah RM200 yang disalurkan secara bersasar kepada golongan yang layak diberikan secara bulanan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, kerajaan tidak pernah mengatakan pemberian subsidi kepada individu itu dibuat secara sekali sahaja atau one-off bagi setiap permohonan.
“Ini bukan pemberian one-off, ini tiap-tiap bulan, bila sudah lulus, dia dapat RM200 setiap bulan.
“Kita bagi RM200 itu kenapa? Ia untuk menampung perbezaan harga dari harga sekarang dengan harga yang baharu.
“Ini tidak bermakna dia beli diesel percuma, hanya kita tolong untuk perbezaan harga itu,” katanya pada sidang media di pejabat Mardi Klang, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hadir ke Hari Terbuka Budi Agri-Komoditi Mardi.
Beliau dan Mohamad sempat meluangkan masa kira-kira sejam 30 minit melakukan sesi libat urus dengan kira-kira 150 petani dan pekebun kecil sekitar daerah Klang.
Dalam pada itu, Amir juga mendedahkan setakat 3 Jun lalu, Kementerian Kewangan menerima seramai hampir 60,000 permohonan termasuk Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi.
“Jumlah ini tidak termasuk SKDS 2.0 yang yang dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang kita nampak banyak sudah masuk dan mula mohon untuk fleet card,” katanya.
Katanya, dari jumlah itu seramai 30,000 permohonan sudah diluluskan dan bayaran RM200 itu akan disalurkan bermula Isnin ini.
“Kita tengok kajian dan data kita dengan Jabatan Perangkaan Negara bahawa jumlah itu cukup untuk tampung kos itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette