Kementerian Wilayah Persekutuan lancar inisiatif kitar semula, Waste to Wealth hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan melancarkan inisiatif Waste-To-Wealth di kawasan perumahan awam sekitar Kuala Lumpur bagi memelihara dan memulihara alam sekitar demi menjaga kelestarian dan kehidupan warga kota.

Antara lokasi pilihan inisiatif ialah kawasan perumahan awam Seri Pulau Pinang, Jalan Ikan Emas di sini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan bagi lonjakan ekonomi, mereformasi dan menstrukturkan semula ekonomi negeri ini.

Katanya, Wilayah Persekutuan secara khususnya akan menjadi hab serantau sekali gus menyokong kepada kemampanan ekonomi negara.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar telah merangka beberapa program bagi melaksanakan inisiatif Waste-To-Wealth ini.

“Antara bawah inisiatif Waste-To-Wealth ialah pelaksanaan program 1 Komuniti 1 Kitar Semula atau 1 Community 1 Recycle (1C1R).

“1C1R merupakan program kitar semula yang berkonsepkan sistem barter di mana komuniti boleh menukar barang kitar semula kepada barangan keperluan dapur yang telah ditetapkan oleh DBKL.

“Program ini akan dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu, 1C1R Bergerak yang diadakan pada setiap hujung minggu), Kios 1C1R iaitu kios kitar semula statik dan Pembayaran Sewa Rumah Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL iaitu pembayaran sewa rumah melalui tukaran barang kitar semula,” katanya pada majlis pelancaran hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Kata Wan Zaliha, setakat ini terdapat empat kios 1C1R yang telah diwujudkan di sekitar Kuala Lumpur iaitu di PPR Beringin, PA Seksyen 2 Wangsa Maju, PPR Seri Alam dan PA Seri Kota.

“Bagi tahun ini, empat lagi kios 1C1R akan diwujudkan iaitu di PA Seri Pulau Pinang, PPR Pinggiran Bukit Jalil, PPR Kerinchi dan di PPR Muhibbah,” ujarnya.

Dalam pada itu, satu sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara DBKL dan syarikat FatHopes Energy Sdn Bhd bagi memastikan inisiatif Waste-To-Wealth melalui program 1C1R dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.

FatHopes Energry difahamkan akan bersama-sama menganjurkan program alam sekitar terutamanya program 1C1R menerusi Tanggungjawab Sosial (CSR) dari masa ke semasa. -MalaysiaGazette