Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra pada Majlis Perasmian Gotong Rotong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Desa Setia Wira, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan projek pelepasan nyamuk aedes berWolbachia berjaya untuk menurunkan kes deman denggi, Kementerian Kesihatan (KKM) menambah sembilan lagi lokasinya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan berkata penambahan lokaliti itu dibuat setelah projek yang dimulakan sejak 2019 itu menunjukkan penurunan kes demam denggi sebanyak 87 peratus.

“Sembilan lokaliti itu kita agihkan ke seluruh negara dan kita juga akan menambah di negeri-negeri fokus kita iaitu di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.

“Malah kawasan pembinaan juga akan jadi fokus utama KKM,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Dzulkefly sebelum merasmikan program gotong-royong mega perangi AEDES 1.0 peringkat kebangsaan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira.

Dr Dzulkefly Ahmad bergotong royong bersama penduduk setempat pada Majlis Perasmian Gotong Rotong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT),
Desa Setia Wira, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 JUN 2024

Ditanya sama ada projek ini akan dijalankan secara besar-besaran, Dzulkefly berkata, perkara itu dalam pertimbangan KKM.

“Kalau kita mampu untuk buat di seluruh negara mengapa tidak. Kita kena berdepan beberapa kekangan antaranya logistik, kewangan,” katanya lagi.

Bercakap mengenai kos pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia, Dzulkefly berkata, ia sangat murah dan hanya melibatkan RM0.50 bagi seekor nyamuk.

Untuk rekod, sehingga kini sebanyak 35 lokaliti pelepasan nyamuk berWolbachia telah dibina di seluruh negara dan salah satunya adalah di Kem Kementah, Desa Setia Wira.

Wolbachia, sejenis bakteria yang disuntik ke dalam nyamuk Aedes Aegypti dan bertindak merencat perkembangan virus denggi dalam badan nyamuk seterusnya menghalang jangkitan virus denggi kepada manusia.

Nyamuk aedes berWolbachia tidak memberi kesan sampingan kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.

Sepanjang empat tahun pelaksanaan projek pelepasan nyamuk aedes berWolbachia, bilangan kes denggi menurun antara 45 hingga 100 peratus di 19 lokaliti pelepasan yang telah dijalankan oleh KKM.

Dari tempoh Januari sehingga 1 Jun tahun ini, sebanyak 64,629 kes telah dilaporkan berbanding 48,723 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Statistik itu menunjukkan peningkatan sebanyak 32.6 peratus untuk tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh sama sebanyak 48 kematian telah dilaporkan berbanding 34 pada tahun 2023. – MalaysiaGazette