Tangkap layar berdasarkan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek melarikan kereta Honda City di sebuah stesen minyakl di Kuantan petang semalam.

 

KUANTAN – Seorang lelaki yang tular kerana disyaki melarikan kenderaan jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Jalan Semambu, di sini direman empat hari lagi sehingga Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi berkata, lelaki berusia 40 tahun itu, direman bermula hari ini bagi polis meneruskan siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, suspek direman dua hari selepas diberkas sepasukan polis di sebuah rumah yang diceroboh di Kampung Chinta Manis, Karak, Bentong setelah tertidur hampir tiga jam di kediaman itu pada 5 Jun.

Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah selain mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Pada Isnin, seorang pesara guru wanita melalui detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki tidak dikenali melarikan kereta milik anaknya, dalam kejadian di stesen minyak berkenaan sekitar 3.10 petang.

Sebelum kejadian itu, mangsa Napisah Muhammad, 68, bersama suaminya Mohamed Halim Omar, 77, dan anak perempuannya yang merupakan seorang akauntan yang juga pemilik kenderaan terbabit, berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak serta ke tandas.– BERNAMA