Hussein Omar Khan

KAJANG – Suspek yang memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee di Shah Alam baru-baru ini tidak mensasarkan kediamannya sahaja.

Sebaliknya menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, dua suspek yang terlibat dipercayai turut mensasarkan beberapa rumah lain.

“Rumah ini bukan menjadi target sebab pemiliknya pemain bola sepak, tapi ia kebetulan. Tiada kena mengena dgn isu pemilik rumah (merupakan) pemain bola sepak.

“Suspek  rasa rumah yang dicuba berisiko lebih tinggi jadi suspek ke rumah pemain bola sepak itu, bila didapati tiada siapa di rumah, itu mereka pecah rumah itu,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Program Taman Angkat Kontinjen Selangor di SK Taman Rakan, di sini hari ini.

Rumah Khuzaimi dipecah masuk pada 22 Mei yang lalu ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Ekoran kejadian, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

Mengulas lanjut Hussein berkata, polis sehingga kini masih mengesan dua suspek berkenaan.

Rompakan itu berlaku selepas beberapa siri serangan ke atas pemain bola sepak negara.

Awal bulan lalu, pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim cedera akibat disimbah asid.

Kejadian pada 5 Mei itu dipercayai dilakukan dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya mengakibatkan  tonggak utama Selangor FC itu mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya.

Sebelum itu, satu lagi insiden membabitkan pemain bola sepak ialah ke atas pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid pada 2 Mei.

Akhyar mengalami kecederaan selepas dipukul di bahagian kepala dan kaki dengan menggunakan besi boleh laras dalam kejadian samun berhampiran kondominium kediamannya dekat bandar Kuala Terengganu.

Pada 7 Mei pula, cermin belakang kereta dipandu pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan berhampiran pusat latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru.- MalaysiaGazette