Lebuh Raya Setiawangsa Pantai (SPE)

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tiada keretakan pada persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras, di sini.

KKR menerusi kenyataan ringkas di platform X hari ini, memaklumkan pemeriksaan pada 11.30 malam tadi mendapati ia hanya kesan garisan hitam iaitu sendi pembinaan semasa kerja konkrit yang dibuat dahulu.

“Konsultan juga telah mengesahkan struktur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat. Satu laporan pemeriksaan dan pengesahan selamat akan disediakan dan dikemukakan kepada LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia),” menurut kenyataan itu.

KKR memaklumkan pemeriksaan itu dibuat oleh LLM, syarikat konsesi SPE dan pihak konsultan EDP, selain turut dimuat naik di platform media sosial itu ialah gambar semasa pemeriksaan dilakukan.

Semalam, seorang pemilik akaun X menyuarakan kebimbangan kemungkinan terdapat keretakan di jejambat tersebut berdasarkan dua keping gambar yang didakwa dirakamkan pada April lepas dan bulan ini

Ciapan itu mendapat reaksi Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengarahkan LLM dan syarikat konsesi SPE membuat pemeriksaan dan penilaian segera di lokasi itu, kerana keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya menjadi keutamaan.

SPE yang dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat serta menghubungkan beberapa lebuh raya lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara. – BERNAMA

LLM, SPE diarah segera periksa keretakan lebuh raya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast