Mohamed Azmin.

NIBONG TEBAL – Jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan ‘berkampung’ di Sungai Bakap untuk membantu calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu pada 6 Julai depan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia juga demi memastikan Pas mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

“Tadi ketika berucap saya berikrar depan (semua) pimpinan Pas bahawa kami (Bersatu) akan berkampung di Sungai Bakap untuk bantu calon yang mewakili PN.

“Kerjasama yang cukup erat dijalinkan pada PRU dan PRK sebelum ini dapat kita terjemahkan dalam bentuk tindakan dan kini giliran Sungai Bakap dan InsyaAllah akan kekal (kemenangan) kepada PN,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Muhammad Sanusi merasmikan Pelancaran Jentera PN bagi PRK Sungai Bakap di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap yang dirasmikan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Pejabat Pas kawasan Nibong Tebal.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menafikan dakwaan Pas tidak membantu kempen PN di Kuala Kubu Bharu.

“Tak benar, Pas punya komitmen di Kuala Kubu Bharu itu luar biasa.. daripada presidennya (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Timbalan Setiausaha Agung, pimpinan mereka semua berada di sana sebelum hari penamaan calon sehingga selesai pilihan raya,” katanya.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette