KEPALA BATAS – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut dalam siasatan kes murid Tahun Lima yang diserang strok haba selepas dipaksa seorang guru berdiri di bawah sinaran matahari.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berkaitan isu sama di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta tatakerja yang ditetapkan.

“Bagi kes itu (budak didenda berdiri di bawah sinaran matahari) kita telah serahkan kepada pihak polis untuk mereka jalankan siasatan.

“Setelah itu maknanya, siasatan dan tindakan selanjutnya di pihak berkuasa. Sudah ada laporan polis dan kita serahkan kepada mereka untuk membuat tindakan selanjutnya.

“Bagi peringkat KPM pula, kita telah laksanakan siasatan mengikut tatakerja dan tatacara yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fadhlina merasmikan Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sebuah taman tema di Bertam di sini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun itu kini mempunyai masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba kesan berjemur selama tiga jam di tengah padang di bawah terik cahaya matahari.

Susulan insiden itu, Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) menggesa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat untuk bertegas dan mengambil tindakan segera terhadap pihak sekolah dan guru terlibat.

Fadhlina sebelum ini berjanji mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab dalam kes murid selain menyatakan pendirian KPM yang tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast