Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Penularan poster dan kain rentang mengenai penganjuran Program Permohonan dan Taklimat Kewarganegaraan tidak boleh dipandang remeh kerana isu berkenaan melibatkan kedaulatan negara.

Pemerhati politik, Shahir Adnan berkata, harus diingat  hanya warganegara Malaysia yang dibenarkan mengundi untuk memilih kerajaan demi masa depan negara.

Sungguh janggal program seperti itu dirancang tanpa penglibatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan ia menunjukkan wakil rakyat DAP seolah-olah lebih arif mengenai isu kewarganegaraan serta sangat jelas program tersebut bermotifkan politik.

“Penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

“Proses yang dilaksanakan oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.

“Jangan jadikan kerakyatan negara sebagai alat politik mana-mana pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Shahir berkata demikian mengulas mengenai isu berkenaan yang telah menimbulkan kekecohan selepas poster tersebut tersebar baru-baru ini.

Poster program berkenaan  tular di media sosial telah mengundang kecaman dan disifatkan sebagai acara bagi memberi pendatang asing di negeri ini taraf kewarganegaraan.

Malah ada pengguna media sosial meminta pihak berkuasa menyiasat pengajuran acara berkenaan.

Susulan kecamana itu, majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadualkan 30 Jun ini ditangguhkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang juga Setiausaha DAP Johor dipetik berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab-sebab lain.

Mengulas mengenai alasan yang diberikan Kah Eng, Shahir menasihatkannya belajar bidang kuasa kerajaan dan parti politik terlebih dahulu.

Jelasnya, penerangan oleh mereka yang tiada punca kuasa atau pihak berautoriti umpama golongan ajaran sesat.

Tambah beliau, program seumpama itu harus melibatkan pihak JPN dan idak boleh dibuat sesuka hati.

“Apa motif program tersebut dirancang di Johor? Adakah kerana terdapat banyak permintaan dari negara jiran? Hanya penganjur tahu jawapannya,” kata Shahir. – MalaysiaGazette