Muhammad Sanusi ketika berucap pada Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat Pas kawasan Nibong Tebal, malam tadi.

NIBONG TEBAL – Kerajaan Kedah sedia menjual air bersih kepada Pulau Pinang sebagai penyelesaian masalah air yang didakwa membelenggu penduduk di Sungai Bakap sejak enam tahun lalu.

Tawaran itu diutarakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor selepas mendapati penduduk di Sungai Bakap khususnya Mukim 5 dan Taman Widuri masih berdepan masalah air.

Menurut Muhammad Sanusi, Kedah sedia menjual air dari loji rawatan air (LRA) Lubuk Buntar di Bandar Baharu, Kulim yang kedudukannya 16 Kilometer sempadan Kedah – Pulau Pinang.

“Tuan-tuan saya nak umum malam ini, Yang Berhormat Chow Kon Yeow kalau tak ada air di Nibong Tebal saya ada lebihan air di LRA Lubuk Buntar.

Muhammad Sanusi merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PN bagi PRK Sungai Bakap di sini, malam tadi.

“Kalau nak mai (datang) beli, saya jual.Saya bukan tak ada air bersih..ada .. kalau hang (Kon Yoew) nak beli, saya jual yang di LRA Lubuk Buntar ada lebihan air bersih di situ dengan suci hati tapi kena beli tak boleh ambil free (percuma) macam Sungai Muda,” katanya ketika berucap pada  majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat Pas kawasan Nibong Tebal di sini malam tadi.

Menurut Muhammad Sanusi, Pulau Pinang mengabstrakkan kira-kira 1,440 juta liter air sehari (MLD) dari Sungai Muda manakala Kedah hanya menggunakan kira-kira 770 JLH, iaitu separuh daripada Pulau Pinang.

“Perbezaan ketara ini menimbulkan persoalan mengapa Pulau Pinang khususnya di Sungai Bakap menghadapi kekurangan air sedangkan mereka sedut (abstrak) dua kali ganda.

“Selain itu, masalah air juga tidak sepatitnya menjadi isu di negeri ini susulan mereka hanya perlu menyelenggara paip pendek berbanding Kedah tambahan pula, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mencatatkan keuntungan RM100 juta setahun,” katanya. – MalaysiaGazette