PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia yang ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula tengah malam ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga tersebut mengikut pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

Beliau menambah, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

“Dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi bersasar ini,
kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.

“Penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak kita.

“Sekali lagi, saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang layak untuk memohon bantuan tuna BUDi MADANI. Mereka yang memohon pada bulan Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk Jun ini dan seterusnya

“Mereka yang terlepas membuat permohonan pada Jun ini akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan permohonan dan seterusnya,” katanya pada sidang media penyelarasan subsidi diesel di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah menambah, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Jelas beliau, melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor sektor yang layak.

“Ia menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2. 15 seliter

“SKDS 1.0 bagi kenderaan-kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter dan bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter,” katanya.

Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi juga diperkenalkan dalam bentuk bantuan tunai melalui inisiatif Bantuan Tunai BUDI Individu sebanyak RM200 sebulan kepada warganegara Malaysia yang memiliki kenderaan diesel persendirian untuk menampung perbelanjaan bahan api diesel yang meningkat.

Pada masa sama katanya, Bantuan Tunai BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada petani kecil dan pekebun kecil komoditi untuk mengurangkan kesan kepada punca pendapatan mereka

“Tujuan kerajaan melaksanakan penyasaran ini adalah untuk membendung ketirisan diesel subsidi yang kian berleluasa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

“Kerajaan berbelanja sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel pada tahun 2023 dan Malaysia tidak mampu untuk terus kerugian berbilion ringgit akibat penyeludupan dan penelewengan diesel yang berleluasa.

“Sedangkan wang itu lebih baik dibelanjakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan membangunkan negara,” kata beliau.

Amir Hamzah menambah, kumpulan pertama yang meliputi lebih 30,000 penerima bakal memanfaat bantuan BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM200 yang didepositkan ke dalam akaun bank mereka bermula esok.

“Individu layak yang belum memohon BUDI Individu atau BUDI Agri-Komoditi masih boleh menerima bantuan bagi Jun ini sekiranya mereka membuat permohonan sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Amir Hamzah turut menegaskan bahawa apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah menyasarkan semula subsidi untuk golongan yang benar-benar layak sahaja.

“Kita mahu menghentikan ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara. Tahun demi tahun, kita menampung kerugian besar dan ini bolen merencat kemakmuran yang sepatutnya menjadi milik kita.

“Ini satu keputusan Kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Protes senyap menyambut pelaksanaan penarikan subsidi diesel. Boleh jadi ancaman sokongan kepada kerajaan. Jadi kerajaan madani perlu ambil langkah berjaga jaga takut kalau pihak pembangkang mengambil.kesempatan.menangguk di ayer keroh

Comments are closed.