Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kes penemuan rangka manusia dalam keadaan tidak sempurna di kawasan tepi laut berhampiran Kampung Bagan Hailam, Tanjung Harapan, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao berkata, rangka itu telah dijumpai dalam keadaan tidak sempurna.

“Mayat telah dihantar ke hospital Klang untuk proses bedah siasat dan hasil keputusan laporan bedah siasat menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah diperoleh daripada rangka tulang itu.

“Selain itu, polis berjaya mengenal pasti mangsa adalah seorang wanita tetapi identiti sebenar mangsa masih dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada awal pagi tadi, Vijaya Rao mengesahkan tentang penemuan rangka manusia dalam keadaan tidak sempurna oleh orang awam sebelum dilaporkan kepada polis.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah bergegas ke lokasi kejadian.

Berikuan insiden itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung segera dengan pihak polis bagi membolehkan semakan lanjut dibuat.

Katanya, sebarang pertanyaan mengenai kes berkenaan boleh mendapatkan maklumat dengan menghubungi Balai Polis Bandar Sultan Suleiman di talian 03-31767622 atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Kamarul Hadi Che Harun di talian 011-69821395.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rangka manusia ditemui di Tanjung Harapan