Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)

KUANTAN – Seorang lagi mangsa kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat awal pagi tadi telah meninggal dunia.

Allahyarham merupakan mangsa ketiga meninggal dunia sebelum dua lagi mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, mangsa merupkan seorang kakitangan pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Mangsa ketiga itu merupakan penumpang dalam bas berkenaan dikenali sebagai Hamzah Ahmad berusia 60 tahun.

Terdahulu penumpang yang juga guru wanita yang meninggal dunia adalah Hasnatul Adilah Hassan, 48, manakala pemandu kedua bas, Mohd Adi Hasan, 29, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Bas tersebut membawa rombongan 37 warga SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka dilaporakan merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau hari ini..

Bas terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu itu turut dilaporkan terbabas dan terjunam ke bawah cerun di Kilometer (KM)126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau.

Tinjauan MalaysiaGazette ketika di Unit Forensik HTAA di sini mendapati jenazah sudah berada di Bahagian Patalogi Forensik tengah hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman ketika ditemui berkata, tiga lagi mangsa masih berada dalam keadaan kritikal di HTAA.

Selain itu tiga lagi mangsa dari Hospital Muadzam Shah akan dihantar ke HTAA bagi menerima rawatan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua maut, 37 cedera insiden bas bertembung treler