Majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap dirasmikan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Pejabat Pas kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.

NIBONG TEBAL – Perikatan Nasional (PN) akan memanfatkan semua saluran termasuk platform media sosial untuk mendekati pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia susulan parti itu berdepan kekangan akaun sosial media yang mempromosikan PN sering disekat kerajaan.

“Depa (Kerajaan Perpaduan) sudah start (mula) sekat (media sosial membabitkan PN) dan kita akan lipat gandakan lagi posting, ketika itu kita lihat berapa banyak mereka mahu sekat.

Muhammad Sanusi.

“Selain itu, kita juga akan memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung kekangan yang dihadapi PN dalam mendekati pengundi menerusi platform media sosial,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat Pas kawasan Nibong Tebal di sini malam tadi.

Ketika diminta mengulas sama ada media sosial kekal menjadi medium utama kempen PN, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan turut menggunakan pelbagai cabang lain untuk menemui semua pengundi termasuk melalui kaedah kempen rumah ke rumah.

“Kita ada banyak cabang untuk dekati pengundi. Kita ada media sosial, media kontemporari, tradisional serta ceramah sebegini ini.

“Jadi kita akan gunakan semua saluran kita untuk dekati pengundi Sungai Bakap ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan ketika perasmian, Muhammad Sanusi turut meminta penduduk Sungai Bakap tidak memberi signal bahawa rakyat sudah mula menerima dasar yang dibawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ADALAH SATU KESILAPAN MEMILIH PAS SEBAGAI WAKIL RAKYAT KERANA KEBANYAKAN WAKIL RAKYAT DARIPADA PAS TIDAK BEKERJA UNTUK RAKYAT TETAPI HANYA KEPADA AHLI PAS SAJA..SIKAP KEDEKUT BAKHIL DENGAN PELBAGAI ALASAN APABILA MENYEDARI RAKYAT YANG MEMINTA BANTUAN KEPADA WAKIL RAKYAT PAS ADALAH BUKAN PENGUNDI PAS.
    PAS BUKAN BEKERJA UNTUK RAKYAT DAN MENJADI MALANG JIKA CALON PAS MENANG YANG AKAN MENYUSAHKAN KEMBALI RAKYAT-RAKYAT DI DALAM KAWASAN YANG MEREKA MENANG.
    MEREKA AKAN MENYATAKAN BAHAWA TIADA PERUNTUKAN TETAPI MEREKA BOLEH HIDUP MENGHARAPKAN RAKYAT MENGULURKAN KEBENDAAN/WANG SUPAYA PERUT MEREKA BERISI.
    TENGOK KAWASAN YANG MEREKA MENANG ,DIMANA PEMBANGUNAN DI BUAT OLEH KERAJAAN TERDAHULU SEDANGKAN MEREKA MASIH HIDUP SENANG LENANG.

Comments are closed.