Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyatakan
komitmen penuh pihaknya kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas (Task Force) untuk menangani isu Jemaah Haji terkandas di Mekah dan membanteras penipuan pakej haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata, Pasukan Petugas Khas itu diterajui oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM dan dianggotai oleh beberapa pihak berkuasa serta agensi kerajaan termasuk TH lanjutan daripada laporan dan dakwaan terdapat bakal haji terkandas di Tanah Suci Mekah.

“Isu berkenaan dengan jemaah haji terkandas, penipuan pakej haji dan kesalahan penggunaan visa boleh melibatkan pelanggaran peruntukan di bawah undang-undang berbeza dan di bawah bidang seliaan pihak berkuasa dan agensi yang berbeza termasuk TH, PDRM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan juga pihak berkuasa Arab Saudi.

“Adalah menjadi matlamat Pasukan Petugas Khas untuk menangani isu ini sebaik mungkin secara bersepadu dan sekaligus membantu menghentikan kesalahan dan kes penipuan berkaitan urusan haji di negara ini secara tuntas,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Tuan Syed Hamadah berkata, TH akan menyalurkan segala maklumat yang diperlukan untuk proses siasatan yang dijalankan pihak berkuasa mengikut bidang kuasa dan lunas undang-undang yang bersesuaian.

Sebelum ini Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menerusi kenyataan pada 30 Mei lalu mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berkaitan insiden jemaah haji Malaysia telah terkandas di Mekah.

Katanya, laporan polis itu diterima polis di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, sebagai tindakan proaktif dalam menangani isu sebegini, JSJK menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang berperanan untuk melaksanakan siasatan dan tindakan awal terhadap sebarang aduan berkaitan Jemaah Haji yang terkandas itu, katanya. – MalaysiaGazette