Suasana Unit Forensik HTAA malam ini.

KUANTAN – Polis mengesahkan seorang ustazah, Dahlia Ahmad, 52, sebagai mangsa keempat meninggal dunia dalam tragedi bas rombongan guru yang merempuh sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof mengesahkan mangsa merupkan seorang guru agama Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Melaka telah menghembuskan nafas terakhir pukul 9.30 malam ini.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HTAA dan akan dimandikan di Masjid Al-Mustagfirin di Batu 3 di sini.

Mengikut perancangan, jenazah akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Sungai Tuang 3, Masjid Tanah di Melaka esok.

Terdahulu mangsa ketiga telah meninggal dunia merupakan penumpang dalam bas berkenaan dikenali sebagai Hamzah Ahmad berusia 60 tahun.

Manakala seorang lagi guru wanita, Hasnatul Adilah Hassan, 48, juga telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Selain itu, pemandu kedua bas juga disahkan maut ialah Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Bas tersebut membawa rombongan 37 warga SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka dilaporkan merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau hari ini.

Bas terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu itu turut dilaporkan terbabas dan terjunam ke bawah cerun di Kilometer 126, Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr.Rusdi Abdul Rahman ketika ditemui berkata tiga lagi mangsa masih berada dalam keadaan kritikal di HTAA.

Selain itu tiga lagi mangsa dari Hospital Muadzam Shah akan dihantar ke HTAA bagi menerima rawatan. –  MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mangsa ketiga nahas bas meninggal dunia