KUALA LUMPUR – Bilangan tenaga buruh pada April 2024 meningkat sebanyak 0.1 peratus, mencatatkan 17.12 juta orang (Mac 2024: 17.10 juta orang), dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, bilangan penganggur pada bulan tersebut mencatatkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.04 peratus kepada 566,400 orang, berbanding 566,600 orang pada Mac 2024.

Kadar pengangguran pada April kekal pada 3.3 peratus, seperti yang direkodkan bulan lalu.

Tambahnya, dari segi guna tenaga mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti maklumat & komunikasi; perkhidmatan makanan & minuman; dan pengangkutan & penyimpanan.

rend yang sama dalam bilangan penduduk bekerja juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian serta sektor pertanian pada bulan tersebut.

Bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada bulan 2024 mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang (Mac 2024: 7.23 juta orang).

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun tidak berubah iaitu pada 10.6 peratus pada April 2024, merekodkan 305,900 penganggur belia (Mac 2024: 10.6%; 306,300 orang).

Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah 6.5 peratus, dengan 434,900 penganggur belia (Mac 2024: 6.6%; 434,500 orang).

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada bulan April 2024 mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang (Mac 2024: 7.23 juta orang).

Sebab utama penduduk berada di luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah/ tanggungjawab keluarga dengan peratus sumbangan sebanyak 42.7 peratus, diikuti oleh bersekolah/ latihan pada 41.4 peratus. – MalaysiaGazette