Saturday, October 5, 2024
Home Sukan Harimau Malaya perlu menang besar malam esok – Pan Gon

Harimau Malaya perlu menang besar malam esok – Pan Gon

Kim Pan Gon
KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu melunaskan tanggungjawabnya untuk meraih kemenangan besar di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok malam menjelang pertemuan terakhir kumpulan D membabitkan Malaysia menentang Chinese Taipei.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu meletakkan sepenuh harapan kepada anak-anak buahnya untuk mencari sejumlah jaringan maksimum untuk menghidupkan peluang ke pusingan ketiga kelayakan itu.

Kim Pan-gon turut berkongsi bahawa persiapan pasukan berada di tahap terbaik meskipun mengakui sedang menerima tekanan dan sentiasa berpaksikan kepada realiti sebenar.

“Kita seri dengan Kyrgyzstan, tekanan untuk kami dan perlu jaringan maksimum. Kita perlu jaringkan tujuh gol minimum.

“Kami cuba menang di sana (Bishkek) tetapi kita perlu realistik menentang pasukan ke-100 dunia di tempat lawan. Kami tiada rekod baik di laman lawan tetapi masih cuba mencari kemenangan. Barisan kejuratihan menunggu sehingga minit ke-80 namun lihat ia sukar.

“Pasukan memilih untuk menjaga bahagian pertahanan lebih rapi. Malaysia ada rekod baik menentang lawan di gelanggang sendiri. Sungguhpun kekuatan kali ini berbeza, tetapi bukan mudah lawan mahu beraksi di Bukit Jalil,” katanya pada sidang media di Wisma FAM hari ini.

Pan-gon turut berharap agar para penyokong turun berdepan lawan dan merealisasikan hasrat besar Harimau Malaya.

“Semua jurulatih datang sini untuk menang tetapi realitinya sukar. Kita akan menguasai sebahagian besar perlawanan esok kerana aksi ini penting. Kita masih ada harapan dan sasaran, jadi sukar untuk Chinese Taipei,” tambahnya.

Skuad kebangsaan sebelum ini telah menewaskan Chinese Taipei di laman lawan dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan pemain gantian, Darren Lok.

Malaysia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata selepas lima perlawaan hasil dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Aksi menentang Chinese Taipei akan berlangsung di SNBJ pukul 9.00 malam esok. – MalaysiaGazette