ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 seliter akan memberi kesan kepada golongan petani di negara ini, khususnya kepada penanam padi.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Asyaraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kenaikan yang amat tinggi itu sememangnya dikhuatiri akan membebankan para petani.

“BUDI Agri-Komoditi seakannya mengetepikan segmen penanam padi dengan tidak memperhalusi mekanisme pemberian subsidi sekaligus menindas para pesawah dan akan menyebabkan segala hal akan ditanggung petani dalam ekosistem yang hanya memenangkan cukong (kapitalis)!

“Meninjau kos operasi penggunaan diesel adalah sejumlah antara 6000 liter ke 10,000 liter semusim. Mana mungkin polisi secara semberono ini mampu menoktahkan kemiskinan apatah lagi bebanan yang ditanggung petani,” katanya yang mengulas penetapan harga runcit diesel di semua stesen minyak di Semenanjung ditetapkan RM3.35 seliter.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam berkata, harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, bagaimanapun kekal RM2.15 seliter.

Bagaimanapun, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKS) 2.0 yang menggunakan kaedah fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

Mengulas lnajut, Mohd Asyaraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh berkata, langkah menarik subsidi tersebut semestinya mempunyak kesan rantaian terhadap golongan petani.

Katanya, petani akan terpaksa menanggung kesan kenaikan harga diesel ditambah dengan segenap kos input dari mula proses penanaman padi sehinggalah penjualan padi sedang subsidi terkait padi.

“Sewajarnya kerajaan perlu menilai semula mekanisme agihan bantuan tunai itu menerusi agensi berkaitan seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Jabatan Pertanian atau Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk terus diberikan kepada operator mahupun petani.

“Proses yang payah ini juga dilihat akan membuka vakum untuk mereka yang berkepentingan ‘main harga’ sesuka hati tanpa kawalan dan akan terus menerus berlaku penindasan kepada golongan petani penanam padi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast