NIBONG TEBAL – Kerajaan Perpaduan akan mengumumkan calon mewakili mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 12 Jun ini.
Pengumuman itu dibuat Pengarah Pilihan Raya Perpaduan, Rafizi Ramli ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar di sini malam tadi.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR turut menyifatkan mereka sebagai pihak underdog di Sungai Bakap dan jentera harus terus bekerja keras untuk memenangkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan.
“Laluan untuk merampas kembali kerusi Sungai Bakap tidak mudah namun dengan semangat dan kebersamaan gabungan Perpaduan, kita yakin dapat merampasnya semula.
”Siapa pun calon nanti, kita minta dia jadi ‘pengantin’..senyum saja, jangan hentam sana sini biar kami juru kempen yang lakukan perkara itu,”katanya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita Rafizi berkata, nama calon tersebut akan dikemukan dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung Selasa depan di ibu negara.
“PH akan umumkan terlebih dahulu calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan senarai calon (mewakili Kerajaan Perpaduan) juga sudah dihantar kepada Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selain disaring oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Jadi kita akan kemukakan nama calon PKR itu untuk mendapatkan persetujuan dalam kalangan komponen Kerajaan Perpaduan dalam mesyuarat pada hari Selasa sebelum membuat pengumuman rasmi pada Rabu iaitu 12 Jun ini,” katanya.
Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.
PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette