Nahas bas persiaran dengan treler mengorbankan empat nyawa daripada 39 penumpang di Rompin pada Ahad

KUANTAN – Sampel air kencing dan darah pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin semalam sudah diambil oleh polis untuk diuji.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, setakat ini pihaknya menunggu keputusan ujian yang dilakukan terhadap pemandu berusia 50 tahun tersebut.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini. Air kencing dan darah pemandu bas sudah diambil. Semua yang terbabit dalam kemalangan itu memberi kerjasama baik kepada pihak polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Nor Azman berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan.

Dalam nahas awal pagi semalam empat terkorban dalam kemalangan membawa 39 penumpang dalam sebuah bas persiaran yang dilapoakan merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga menghala ke Bahau sebelum terbalik.

Difahamkan bas tersebut membawa 22 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram dalam perjalanan dari Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Dalam tragedi itu, polis mengesahkan Dahlia Ahmad, 52, seorang guru agama sebagai mangsa keempat yang meninggal dunia malam tadi ketika menerima rawatan selepas melakukan pembedahan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Terdahulu mangsa ketiga pula merupakan penumpang dalam bas berkenaan dikenali sebagai Hamzah Ahmad, 60, yang bertugas sebagai Pembantu Operasi SK Jeram manakala seorang lagi guru wanita, Hasnatul Adilah Hassan, 48, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Selain itu, pemandu kedua bas berkenaan, Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Sehingga kini hanya lima mangsa terdiri dari empat orang guru dan seorang ahli kumpulan pelaksana menerima rawatan HTAA,

Difahamkan seorang guru masih ditempatkan di unit rawatan rapi dan selebihnya dilaporkan sudah stabil. – MalaysiaGazette