NIBONG TEBAL – Kerajaan Pulau Pinang tidak berminat dengan tawaran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang sedia menjual bekalan air bersih di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar bagi mengatasi isu air yang berlaku khususnya di Sungai Bakap.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan lapan projek untuk memastikan bekalan air dapat dipulihkan di semua kawasan yang terkesan termasuk di sebahagian Sungai Bakap menjelang 2028.

Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan membina LRA di tepi Sungai Muda selain satu lagi LRA di Sg Dua akan siap pada September ini.

“Kita akui ada cabaran tapi kita tidak elak dari tanggungjawab sehingga Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAPP berani membincangkan isu air ini di Sungai Bakap pada malam ini.

“Bagaimanapin, kita tidak akan lari daripada tanggungjawab, apabila ada masalah kita mencari ikhtiar serta jalan penyelesaian dengan melaksanakan projek-projek untuk menambah baik bekalan air, bekalan elektrik, perkhidmatan IWK dan juga projek-projek jalan untuk mengatasi masalah lalu lintas di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar di sini, malam tadi.

Dalam masa sama, Kon Yeow turut mengingatkan Muhammad Sanusi agar menjaga Kedah terlebih dahulu susulan masih banyak kawasan berdepan masalah bekalan air.

“Terima kasih kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang sudah memberi maklum balas kepada Muhammad Sanusi dan saya minta beliau fokus Langkawi yang kini mengalami masalah kebocoran paip sehingga 50 peratus,” kata Kon Yeow.

ARTIKEL BERKAITAN

Kedah sedia jual air bersih kepada P. Pinang – MB

MalaysiaGazette semalam melaporkan Kerajaan Kedah sedia menjual air bersih kepada Pulau Pinang sebagai penyelesaian masalah air yang didakwa membelenggu penduduk di Sungai Bakap sejak enam tahun lalu.

Tawaran itu diutarakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor selepas mendapati penduduk di Sungai Bakap khususnya Mukim 5 dan Taman Widuri masih berdepan masalah air.

Menurut Muhammad Sanusi, Kedah sedia menjual air dari loji rawatan air (LRA) Lubuk Buntar di Bandar Baharu, Kulim yang kedudukannya 16 Kilometer sempadan Kedah- Pulau Pinang. – MalaysiaGazette