Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengaktifkan Pusat Sehenti Jemaah Haji Terkandas di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pusat sehenti berkenaan sudah memulakan operasinya sejak  8 pagi tadi dan akan tamatkan khidmatnya pada 12 tengah malam, 21 Jun ini.

Bagi tujuan itu seramai 40 pegawai dan anggota daripada pasukan khas yang ditugaskan selama 11 hari bagi membantu siasatan kes jemaah haji terkandas.

“Pasukan turut mendapat kerjasama Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan dalam kes ini.

“Pasukan ini akan memberi kemudahan kepada jemaah haji yang terkandas di KLIA sebelum berlepas mahupun jemaah haji yang terkandas di Arab Saudi dan tidak dapat mengerjakan haji,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Menara KPJ hari ini.

Tambah beliau, mereka akan menerima laporan dari jemaah haji yang terkandas dan seterusnya mengenal pasti apakah kesalahan berlaku dalam proses itu mengikut lunas undang-undang.

Katanya, setakat ini PDRM belum menerima laporan mengenai jemaah haji terkandas di KLIA.

Dalam kenyataan minggu lalu, Ramli berkata, polis menerima satu laporan polis dari Negeri Sembilan dalam kes tersebut.-MalaysiaGazette