Fahmi Fadzil

KOTA KINABALU, 10 Jun (Bernama) — Usaha penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI pada masa ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan ketirisan dan menambah lebih banyak inisiatif bantuan kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Ini kerana penjimatan yang diperoleh melalui penyasaran semula subsidi boleh disalurkan terus kepada rakyat melalui lebih banyak insiatif yang akan dilaksanakan kerajaan, dan seterusnya menambah pendapatan rakyat, di samping mengelak pemberian subsidi itu jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata dalam isu subsidi diesel, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan bahawa negara kehilangan RM1.25 juta sehari akibat ketirisan dan penyeludupan diesel, jumlah itu cukup besar jika dapat digunakan untuk melaksana inisitiatif bantuan untuk rakyat.

“Ada (dilaporkan) satu lori ditangkap hampir tengah malam (tadi).. cuba mengisi diesel dan menyeludup 4,800 liter diesel, (penyasaran subsidi diesel) diumumkan pukul 5 petang, berkuat kuasa tengah malam, masihh ada lagi pihak yang cuba curi diesel,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi untuk Zon Sabah dan Labuan, yang menyaksikan 69 petugas kementerian itu menerima anugerah masing-masing. – MalaysiaGazette