Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

PETALING JAYA – Siasatan polis terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartmen Idaman Damansara Damai di sini selesai kira-kira 2 petang tadi.

Siasatan berakhir sebaik kenderaan yang membawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain meninggalkan lokasi kejadian bersama timbalannya Deputi Komisioner Fadil Marsus selepas melawat dan meninjau lokasi kejadian pukul 12.55 tengah hari tadi.

Lima minit kemudian semua kenderaan dinaiki pasukan penyiasat dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) keluar meninggalkan lokasi sebelum laluan yang ditutup ketat oleh pihak polis itu dibuka semula.

Pemerhatian MalaysiaGazette di lokasi sekitar  perumahan itu mendapati hanya ibu Zayyan yang juga saksi yang kini berada dalam tahanan polis dibawa ke lokasi untuk lakonan semula situasi kehilangan anaknya di lokasi kejadian.

Sehingga proses siasatan berakhir kelibat bapa Rayn yang juga dalam tahanan reman polis ketika ini tidak kelihatan.

Bagaimanapun menurut sumber, ibu Zayn dibawa ke kediamannya di blok R, Apartment Idaman selain turut dibawa ke kawasan anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya iaitu lokasi mangsa ditemui mati pada malam 6 Disember lalu.

Setakat ini, polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung siasatan yang dilakukan di lokasi kejadian terbabit kepada pihak media. – MalaysiaGazette