Saraswati dan Dr Thanaletchumy menang tanpa tanding jatawan Ketua Wanita dan Timbalan MIC Kebangsaan.

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita MIC Kebangsaan bagi penggal 2024-2027, Saraswati Nallathamby menyifatkan kemenangannya sebagai amanah yang memerlukan komitmen tinggi.

Malah menang tanpa bertanding telah membuktikan kesepakatan semua ahli MIC untuk terus berjuang sebagai satu parti yang memartabatkan kaum India terutamanya di negara ini di bawah kepimpinan Tan Sri SA Vigneswaran.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Saraswati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah itu memberitahu, visi dan misinya satu cabaran besar namun yakin mampu melaksanakan semuanya.

“Kemenangan ini bukan satu perkara yang perlu saya terlalu banggakan memandangkan setiap jawatan yang diamanahkan  hadir bersama tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan bermula dari akar hingga pucuknya.

“Semestinya pengalaman saya dalam DUN Kemelah telah memberi saya banyak pengalaman dan penghayatan cukup mendalam yang kini akan saya gunakan dalam memperkasa golongan wanita bermula daripada kalangan B40.

“Sasaran dan usaha saya selain membantu parti, saya akan mengangkat kaum wanita dari golongan ini agar dapat terus bersaing dengan kaum lelaki yang lain,” katanya.

Saraswati Nallathamby

Kata Sarawasti lagi, antara agenda penting yang dilaksanakan termasuk memberi kepentingan kepada aspek pendidikan dan ekonomi khasnya ibu tunggal yang tidak ada arah tuju terutamanya ketika kegawatan ekonomi masa kini.

“Pelajar pelajar sebelum lepasan SPM lagi seharusnya sudah ada arah tuju dan saya akan aturkan beberap siri pendedahan awal bagi pelajar ini agar tidak terus ketinggalan selepas tamat SPM kelak.

“Bagi golongan ibu tunggal semestinya sentiasa berada di benak fikiran saya demi kesejahteraan dan demi kelangsungan kehidupan harian mereka. Seperti dalam DUN saya, majoriti ibu tunggal berada dalam golongan B40 dan pelbagai usaha kita usahakan agar mereka terkeluar dari kepompong itu. Penambahbaikan akan diterjemahkan melalui beberapa program akan datang untuk wanita.

“Bergelar ADUN sememangnya memberikan satu kelebihan kepada saya untuk mudah mengakses segala bantuan serta maklumat terkini bagi dipanjangkan kepada wanita yang lain. Sebenarnya banyak peluang serta ruang telah disediakan tetapi sebahagian kita kurang peka, tidak tahu arah untuk dituju bagi mengecapi kelebihan ruang disediakan terutamanya dari kerajaan,” ujarnya.

Saraswati juga mengambil peluang melahirkan penghargaan kepada bekas-bekas Ketua Wanita MIC yang telah berjuang mengangkat sayap itu ke peringkat lebih tinggi.

“Saya ingin guna ini untuk ucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan khasnya Presiden dan Timbalan Presiden selain daripada kesemua pimpinan MIC yang lain termasuklah akar umbi. Masa untuk bekerja dan serius, kita perlu mengorak ke hadapan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast