KAJANG – Taktik licik sindiket yang aktif terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah dengan berselindung di sebalik syarikat keselamatan yang sah akhirnya terbongkar.
Polis berjaya merampas dadah bernilai RM7.5 juta daripada sindiket itu dalam beberapa siri serbuan tergempar sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan Kajang pada 5 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pada Rabu minggu lalu sekitar jam 1.10 tengah hari hingga 9.30 malam, pasukannya telah melakukan serbuan di beberapa buah rumah teres dan apartmen.
Hasil serbuan seramai 17 individu termasuk Sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan serta tujuh lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Vietnam kesemuanya berusia 18 hingga 50 tahun berjaya diberkas polis.
“Sindiket itu dipercayai beroperasi memproses dan mengedar dadah sejak awal tahun ini. Pemeriksaan lanjut berjaya membawa kepada pembongkaran tempat memproses dan stor penyimpanan dadah sekali gus merampas pelbagai jenis dadah seperti meth oil sebanyak 526.75 kilogram bersamaan dengan 211 kilogram syabu serta 0.409 kg ketamin, 0.504 kg heroin, 10,000 biji pil erimin 5 dan 1.11 kg serbuk MDMA,” katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih hari ini.
Tambah Kok Chin, pihaknya turut merampas 28.8 kilogram ephedrine, pelbagai jenis cecair dan serbuk bahan kimia yang digunakan untuk penghasilan dadah serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah heroin, ketamin dan syabu.
Menurut beliau, sindiket itu diketuai seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah bagi pasaran tempatan terutamanya di sekitar kawasan Lembah Klang.
“Semakan lanjut mendapati enam daripada suspek tempatan memiliki rekod kesalahan lampau bersangkut jenayah dan dadah manakala empat suspek dari kesemua yang ditahan disahkan positif dadah hasil ujian saringan air kencing.
“Kesemua jumlah rampasan dadah itu boleh digunakan oleh 1.1 juta penagih dadah di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.
Malah siasatan lanjut pihaknya mendapati modus operandi sindiket didalangi warga tempatan itu adalah menyewa apartmen rumah teres sebagai setor simpanan dan pemprosesan dadah.
Bagi memastikan kegiatan mereka tidak mudah dihidu pihak berkuasa polis, mereka menjalankan kegiatan terlarang itu disebalik syarikat keselamatan sah dan menggunakan khidmat kurier untuk pengedaran di Lembah Klang.
Kesemua suspek yang ditahan sedang direman seminggu sehingga 12 Jun ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.
Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi harta-harta ahli sindiket yang disita dengan anggaran nilai RM1.1 juta.
“Antara sitaan harta yang terlibat adalah lapan buah kenderaan jenis Honda dan sebuah motosikal Honda; wang tunai kira-kira RM158,000 dalam pelbagai nilai mata wang negara serta pelbagai jenis barang kemas seperti 14 bentuk cincin dan 14 utas gelang tangan.
“Biar pun pihak JSJN sudah menahan ketua yang mendalangi sindiket dadah ini, pihaknya masih berusaha mengesan saki baki suspek rangkaian sindiket ini yang masih bebas terutama daripada kalangan pembekal,” tegasnya. – MalaysiaGazette