Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada kesemua keluarga mangsa yang terkorban di dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat semalam.

Baginda berdua menzahirkan dukacita dan berharap agar seluruh ahli keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah serta ditempatkan bersama golongan yang beriman.

Bagaimanapun baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana seramai 36 ahli rombongan yang terdiri daripada guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Melaka itu selamat dan hanya mengalami kecederaan serta mendoakan semoga mereka dikurniakan kesembuhan segera.

“Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu Kerajaan Negeri Pahang dengan segera untuk meninjau serta mengambil tindakan bagi menentukan tahap keselamatan jalan tersebut yang sentiasa berada pada tahap yang tinggi dan selamat bagi pengguna jalan raya.

“Kemalangan perlu dielakkan di jalan raya terutama sekali apabila aliran trafik bertambah di musim perayaan, cuti persekolahan dan cuti umum,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Justeru baginda bertitah, satu tindakan pantas perlu diambil oleh semua pihak berwajib bagi mengelak ia berulang.

Dalam sama yang sama, pengguna dinasihati lebih lebih berwaspada dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati.

“Perlu diingatkan juga, pemandu mesti berada dalam keadaan yang sihat dan cukup rehat bagi mengelak hilang kawalan atau microsleep.

“Ini kerana statistik daripada Polis DiRaja Malaysia dalam tempoh lima tahun lalu iaitu 2020 hingga kini di jalan berkenaan merekodkan sebanyak 65 kes kemalangan dengan 79 orang maut.

“Antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah letih, mengantuk dan kecuaian,” titah baginda.

Oleh yang demikian, Sultan Pahang berpandangan jika semua perkara ditangani bersama di antara pihak berkuasa dan pengguna jalan raya, ia bukan sahaja dapat memberi keselesaan malah keselamatan penumpang dan pemandu akan lebih terjamin selain dapat mengurangkan risiko berlaku kemalangan di jalan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast