SEPANG – Kerajaan tidak berpuas hati dengan 14 Taman Perindustrian Halal Malaysia di seluruh negara yang hanya merekodkan sekadar 11 peratus sahaja dibangunkan sejak 2009.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu terlalu rendah sedangkan kerajaan negeri memperuntuk 5,665.6 hektar bagi tujuan industri itu.
“Apa kita bincangkan tadi mengenai soal kerajaan negeri yang peruntukan kira-kira 13,000 ekar tanah untuk membangunkan industri halal tetapi hanya 11 peratus sahaja dibangunkan.
“Ertinya kerajaan negeri komited untuk penyediaan industri halal tetapi mungkin di sana terdapat beberapa kekangan dari segi pembangunan khususnya daripada syarikat pengeluar halal itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Bil 1/2024 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Khairul Azwan Harun.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, mesyuarat tersebut bersetuju menubuhkan pasukan petugasĀ dalam mengkoordinasi serta mencari penyelesaian berhubung isu itu.
Beliau berkata, pelbagai masalah dihadapi dalam membangunkan Taman Perindustrian Halal Malaysia seperti insentif tidak mencukupi serta infrastruktur yang ketinggalan.
“Jadi saya akan lakukan tindakan hands on untuk ketahui apa masalah sebenarnya. 11 peratus di seluruh negara, setiap negeri ada satu. Ada 14 tempat, di Perak umpamanya di Lekir dan paling besar di Sarawak,” katanya.
Ahmad Zahid memberitahu, ketika ini pasaran halal dunia bernilai AS$3 trilion dengan peluang yang ditawarkan begitu luas.
“Jadi MITI berusaha dengan HDC untuk menerobos pasaran antarabangsa kerana hanya 81 peratus daripada produk halal ini tertumpu kepada sektor makanan dan minuman (F&B) sedangkan banyak lagi produk halal yang boleh kita tumpu seperti farmaseutikal dan kosmetik, tetapi kita hanya tumpu hal itu (F&B) dan akhirnya hanya dapat kuasai pasaran tempatan.
“Kita mahu kuasai pasaran antarabangsa tetapi jangan berakhir sebagai jaguh kampung, kita menghormati produk seperti sambal cili, kicap tetapi ini untuk lokal dan penggunaan tempatan, kita mahu pergi pasaran antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat terbabit meluluskan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030) yang bertujuan meningkatkan pembangunan industri halal lebih inklusif di bawah kerangka pembangunan sosioekonomi nasional.
Pelan terbabit menggariskan enam indikator sasaran merangkumi tujuh teras strategik dan 23 Inisiatif sebagai asas panduan pelaksanaan bersepadu serta berkesan. – MalaysiaGazette