Van yang dipercayai membawa ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Mateen meninggalkan perkarangan Apartment Idaman pada pukul 1220 tengahari tadi. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

PETALING JAYA – Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa ibu kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin,6, dilihat meninggalkan kediaman Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini pada jam 12.20 tengah hari tadi.

Van berwarna putih dan bercermin gelap itu keluar dari kawasan perumahan itu selepas hampir dua jam berada di lokasi kejadian tersebut.

Selain itu difahamkan, ibu kepada kanak-kanak berkenaan dibawa ke lokasi pada jam 10.15 pagi menuju ke kediamannya terletak di Blok R yang terletak kira-kira 200 meter dari jalan utama.

Wanita berkenaan dibawa turun dari kediamannya menuju ke kawasan semak pada jam 11.06 pagi dipercayai untuk melakonkan semula insiden kehilangan anak lelakinya itu.

Pagi tadi, suspek telah dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemui iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman yang dihuni keluarga berkenaan bagi melakonkan semula kejadian.

Mayat kanak-kanak itu yang ditemui pada 10 malam 6 Disember tahun lalu disahkan dibunuh selepas laporan autopsi mendedahkan kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan.

Kedua-dua pasangan berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di sekitar Puncak Alam pada 31 Mei lalu. – MalaysiaGazette