Anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat Muadzam Shah berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Bahau- Keratong di Rompin.

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Darat (APAD) sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan lengkap insiden ini sebelum sebarang tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.

Menurutnya, tindakan awal telah dibuat dengan memanjangkan surat tunjuk sebab (STS) kepada pihak syarikat bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian.

“Sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah seksyen 45 atau seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang mana berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini.

APAD tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan melibatkan kenderaan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

Tambah agensi itu, semakan mendapati bas persiaran tersebut telah dilesenkan di bawah syarikat Zuzin Holiday Sdn. Bhd.

Manakala treler tersebut dilesenkan di bawah syarikat LSM Metal Ace Sdn. Bhd.

Dalam hal ini, APAD memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden tersebut.

Kemalangan jalan raya telah berlaku di KM 26 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, Pahang di simpang tiga ke Bahau pada 9 Jun 2024 sekitar jam 1.30 pagi.

Kemalangan ini melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa rombongan sekolah seramai 39 orang penumpang dan dua orang pemandu dengan treler.

Bas persiaran tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke arah Kuantan (ke Terengganu). – MalaysiaGazette