KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan dan syor berkaitan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang memberi keutamaan kepada pihak yang ingin mendapatkan rawatan dan pemulihan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas yang berlangsung hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua perkara yang disepakati akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan ke Parlimen untuk dimuktamadkan kelak.

“Terdapat beberapa perkara penting yang telah diperhalusi bersama dan dibincangkan khususnya berkenaan pindaan Seksyen 8 APD 1983 yang merujuk kepada rawatan dan pemulihan kepada penagih atau penyalah guna dadah atau bahan bagi mendapatkan rawatan secara sukarela,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Membincangkan Cadangan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dilaksanakan susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 April 2024 untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas.

Mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Susulan itu, Zahid berharap supaya usaha kedua-dua kementerian dalam menguruskan isu rawatan dan pemulihan dadah akan berjaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu berkata, kerajaan akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi memberi peluang kedua buat penagih mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke dalam penjara.

Cadangan itu untuk memastikan sistem perundangan semasa kekal relevan dengan mengalihkan penyalahgunaan dadah dari hukuman penjara kepada program rawatan. – MalaysiaGazette