KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 47,796 tan metrik pada April 2024, menurun 18.9 peratus berbanding Mac 2024 (58,965 tan metrik).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 44.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2024 diikuti India (11.4%), Jerman (8.0%), Emiriah Arab Bersatu (4.3%) dan Pakistan (3.9%).

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.09 billion pada April 2024, menurun 3.8 peratus berbanding Mac 2024 (RM1.14 billion).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli menurun 20.9 peratus pada April 2024 (21,325 tan metrik) berbanding pada Mac 2024 (26,966 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 9.1 peratus (April 2023: 23,460 tan metrik).

Pengeluaran getah asli Malaysia pada April 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.1%) berbanding sektor estet (10.9%).

Jumlah stok getah asli pada April 2024 menurun 5.1 peratus kepada 211,119 tan metrik berbanding 222,455 tan metrik pada Mac 2024.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.5%) dan estet getah (0.1%).

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 0.9 peratus (April 2024: 733.58 sen sekilogram; Mac 2024: 740.37 sen sekilogram) manakala Sekerap menurun sebanyak 0.1 peratus (April 2024: 639.62 sen sekilogram; Mac 2024: 640.54 sen sekilogram).

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 0.3 peratus hingga 0.9 peratus.

The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 1.2 peratus (daripada USD 1.65/kg kepada USD1.63/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 4.8 peratus (daripada USD2.39/kg kepada USD2.28/kg).

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran April 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur pada bulan April di mana G.M.M 20 bergerak meningkat pada awalnya sebelum berkurangan menjelang penghujung bulan.

Pasaran getah asli semakin berkurang berikutan keadaan cuaca di kebanyakan negara pengeluar utama.

Namun demikian, data ekonomi China yang merangsangkan, ringgit lemah berbanding dollar Amerika serta ramalan ekonomi yang stabil oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut memberi sokongan kepada sentimen pasaran. – MalaysiaGazette