NEW DELHI – Sebanyak lapan kematian dilaporkan dalam tempoh 72 jam di Odisha susulan gelombang haba yang teruk di India.
Angka rasmi yang dikeluarkan, menganggarkan 60 orang meninggal dunia antara Mac dan Mei di seluruh India akibat penyakit berkaitan haba.
Tetapi jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana kematian berkaitan haba kurang dilaporkan di kawasan luar bandar.
India berada di tengah-tengah gelombang haba terpanjang yang pernah dilihat apabila suhu melintasi 50 darjah Celcius di beberapa kawasan baru-baru ini.
“Suhu panas kali ini adalah paling lama kerana dialami kira-kira 24 hari di bahagian yang berlainan di negara ini,” kata urucakap Jabatan Meteorologi India.
Sebahagian di utara India telah mengalami haba melampau sejak pertengahan Mei, dengan suhu berlegar antara 45-50C di beberapa bandar.
Beberapa kawasan di negara ini juga telah terjejas oleh kekurangan air, dengan haba melampau menyebabkan permintaan yang besar terhadap bekalan.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya 18 pegawai pengundian yang ditempatkan untuk fasa terakhir pilihan raya umum di di negeri Uttar Pradesh dan Bihar,meninggal dunia akibat penyakit berkaitan panas.
Musim monsun, yang melanda pantai selatan India di negeri Kerala pada 30 Mei, dijangka membawa sedikit kelegaan apabila ia merebak ke bahagian utara negara itu dalam beberapa hari akan datang. – Agensi