Gambar hiasan

IPOH – Pasangan suami isteri yang menjadi keluarga angkat kepada kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang disyaki didera di Taman Malkop sehingga meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam akan direman pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.45 pagi semalam selepas kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Susulan kematian kanak-kanak itu, seorang wanita, 27 dan suaminya, 66, akan ditahan reman pagi ini Mahkamah Majistret Ipoh pagi ini bagi memudahkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Abang Zainal Abidin berkata, mangsa mempunyai tanda-tanda dipukul di seluruh badannya daripada objek tumpul, serta koyakan pada saluran peranakan dan duburnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supt (ASP) Norazlina Rais Ahmad, di talian 013-6282176, atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette